Sambil menyapu sampah, sempat pula aku bersembang. Kali ni entah macam mana boleh kami menceritakan kisah sewaktu di sekolah. Zul (bukan nama sebenar) menceritakan kelakuan cikgunya semasa sekolah dulu yang memanggilnya dengan panggilan... Woi kambing, kau sini... (panggilan ini kerana dengan alasan dia agak lembab sikit berbanding dengan kawan-kawannya yang lain)... sehinggalah sekarang ini dia masih ingat dengan panggilan yang tidak berapa baik itu. Masih jelas dan segar dalam ingatannya bila dia menceritakan satu persatu apa yang terjadi terhadapnya walaupun ianya sudah berlaku beberapa puluh tahun yang lalu.
Begitu juga perkara yang sama juga pernah terjadi kepada aku sewaktu di sekolah rendah dahulu yang mana cikgu aku sendiri memanggil aku dengan panggilan kaki bangku... bukan kerana tidak pandai bermain bola tetapi kerana tidak layak dipilih bersama mereka yang menjadi wakil sekolah... (Insyaallah sehingga sekarang aku tetap mendoakan kesejahteraan ke atas guru-guru yang pernah mengajar aku)...
Sepatutnya mereka yang menjadi pendidik mestilah memberikan contoh tauladan yang terbaik terutamanya mendidik anak bangsa sendiri. Panggilan dan gelaran yang tidak baik janganlah diberikan kepada anak-anak yang masih dalam usia belajar dan dahagakan ilmu pengetahuan serta pengalaman untuk mengenal erti kehidupan dunia. Ada dikalangan mereka tidak tahu dan pandai menilai lagi. Tetapi kalau digelar dan diherdik dengan panggilan yang tidak elok maka mereka akan menjadi rendah diri apabila berhadapan dengan rakan-rakan yang lain. Sukar untuk bergaul dan menyesuaikan diri. Mereka menganggap mereka tidak layak untuk bersama dengan rakan-rakan yang pandai. dan mungkin juga bagi mereka beranggapan bahawa mereka telah ditakdirkan tidak pandai dan cerdik sepertimana rakan-rakan lain yang selalu mendapat pujian.
Pada hal mereka itu masih di awal usia yang mana perjalanan hidup mereka masih jauh dan 1001 kemungkinan akan terjadi dan berubah. Bakat dan kebolehan mereka masih perlu digilap dan diasuh dengan sebaik mungkin. Anak-anak yang lembab tidak semestinya akan menjadi lembab selama-lamanya. Mereka perlukan perhatian yang terbaik daripada ibu-bapa mahupun guru yang mengajar.
Seusia kanak-kanak lagi perlu dibimbing dan dididik serta diberikan contoh tauladan yang terbaik. Bukannya dibezakan dan dikelaskan mereka. Dan bukannya yang pandai akan diberikan perhatian yang tinggi manakala yang lembab akan dibiarkan dan dipandang rendah begitu sahaja. Jangan berikan didikan yang bersifat negatif, kerana seusia tersebut, mereka akan menerima sahaja dan disimpan terus dalam kotak ingatan. Kalau anak2 yang proaktif pula mereka akan mengikut dan melakukan apa yang diajarnya. Selalunya perkara yang kurang baik ini memudahkan anak2 melakukannya tanpa diulang buat atau suruh. Berlawanan pula dengan perkara baik, selalunya berkali-kali dipesan dan diperingatkan supaya melakukan perkara-perkara yang baik.
Kalau anak-anak mesti belajar cara bermoral tinggi, maka sudah semestinya para pendidik mempunyai moral dan kelakuan yang terbaik dan bukannya semata-mata mementingkan periuk nasi sendiri sahaja.
Belakang parang kalau diasah lagikan tajam, inikan pula manusia...
Nota: Kawan aku yang kena telungkup dengan tong sampah di atas kepala dengarnya telah menjadi Kadi.

1 comments:
Salam saudara..
benar sekali apa yang saudara catatkan tu.. Kenapalah guru2 mudah sangat membeli gelaran yang tak elok kepada anak didiknya, ya? Sama juga dengan ibubapa yang bila marah sesuka hati memaki darah daging sendiri dengan panggilan yang sama sekali sepatutnya tidak disebut...
Post a Comment